Tuesday, May 22, 2018

Perempuan Merokok Untuk Kurus

Aku ada terbaca mengenai kenyataan Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Dr Mymoon Alias, mengenai mentaliti perokok perempuan atau wanita yang mempercayai bahawa merokok membolehkan mereka kekal langsing. Aku ada juga terbaca bahawa syarikat rokok sekarang ini mula target produk mereka kepada perokok wanita.




Kita sedia maklum bahawa rokok ini mempunyai hampir 7000 racun didalamnya. Kita juga sedia maklum tentang kesan merokok ini. Walau bagaimanapun, berapa ramai yang ambil endah perkara ini? Pelbagai kempen dan tindakan telah diambil, namun keberkesanannya masih kurang. Menjadi tren pada masa kini pula, perempuan merokok. Boleh kita lihat anak-anak gadis dengan bangganya merokok di khalayak ramai.

Ada pula yang berpendapat bahawa merokok dapat kuruskan badan. Pada aku, memang la kurus kalau semua zat dan organ dalam badan dah mereput. Tiada kebaikan pun yang ada dalam puntung rokok tu.

Pada pengalaman aku sendiri, aku ada seorang kawan yang sangat kuat merokok (heavy smoker), pada satu tahap tu, tangan dia sampai berkudis , bibir sangat hitam dan dua tahun lepas aku dengar dia dimasukkan ke hospital. Alhamdulillah, sekarang ini masih bernyawa dan dinasihatkan berhenti merokok.

Yang paling menyedihkan, perokok pasif yang turut menerima kesannya seperti kanser, masalah jantung dan strok walaupun mereka tidak merokok. Perempuan yang merokok perlu sedar akan hakikat ini, tiada kebaikan yang mereka dapat daripada merokok. Malahan turut memberi kesan kepada kandungan sekiranya perokok itu mengandung. Pilihan terletak pada diri kita sendiri.

Bagi saya, saya lebih ingin untuk menggalakkan semua perempuan untuk berhenti hisap rokok demi kesihatan mereka dan keluarga mereka juga.