Wednesday, April 15, 2015

Apa Itu Temuduga?

Temuduga adalah satu sesi penilaian yang diadili oleh beberapa ahli panel temuduga untuk memilih calon terbaik yang layak bagi tujuan mengisi kekosongan sesuatu jawatan atau kenaikan pangkat. Temuduga tidak terhad kepada bidang pekerjaan sahaja malah temuduga juga ada dilakukan dalam bidang pendidikan contohnya ketika seseorang itu ingin memohon melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.



Kebiasaaannya satu sesi temuduga diadili oleh beberapa ahli panel yang mahir dan berkait rapat dengan kekosongan jawatan yang ada. Sebagai contoh, jika terdapat kekosongan di Jabatan Pentadbiran, seorang wakil dari jabatan berkenaan akan menjadi salah seorang ahli panel yang akan mengadili sesi temuduga tersebut manakala seorang wakil dari Jabatan Sumber Manusia akan mengendali temuduga tersebut sekaligus menjadi salah seorang ahli panel yang dilantik.

Setiap daripada kita pasti akan merasai pengalaman ditemuduga sepanjang hidup walaupun sekali. Kepada anda yang masih belum pernah menghadiri sebarang temuduga, anda boleh dapatkan tips bagaimana dan apa yang perlu ada lakukan sebelum menghadiri sebarang temuduga disini.

Sebelum anda menghadiri sebarang sesi temuduga, ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan anda bersedia dan yakin ketika di temuduga dan ini adalah tips temuduga yang pertama.

Mengkaji Latar Belakang Syarikat

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah mengkaji latar belakang syarikat tersebut. Contohnya seperti mencari apakah urusan utama syarikat tersebut, berapa lama ditubuhkan, pencapaian, saiz organisasi, produk atau perkhidmatan yang mereka sediakan dan sebagainya. Ini perlu bagi menunjukkan anda tahu serba sedikit tentang latar belakang syarikat tersebut apabila ditanya nanti.

Seterusnya, buat kajian terperinci tentang jawatan yang ditawarkan. Kaji kenapa jawatan itu diwujudkan, peranan utama jawatan tersebut, pengetahuan yang perlu ada untuk memikul jawatan tersebut dan mengapa anda rasa anda sesuai dengan jawatan yang ditawarkan. Ini bagi menunjukkan bahawa jawatan yang ditawarkan kepada anda betul-betul sesuai dan memenuhi kriteria yang mereka cari.


Tips Temuduga 1

Selepas anda selesai mengkaji latar belakang syarikat dibahagian Tips Temuduga 1, langkah yang seterusnya adalah menyediakan dokumen yang perlu dibawa semasa menghadiri temuduga.

Menyediakan Dokumen Yang Berkaitan

Ada beberapa dokumen yang perlu anda bawa semasa anda menghadiri sebarang temuduga yang ditawarkan. Antara dokumen yang wajib dibawa adalah:

    Resume
    Sijil Pelajaran (dari tingkatan 3 sehingga peringkat tertinggi)
    Salinan Sijil Pelajaran (dari tingkatan 3 sehingga peringkat tertinggi)
    Gambar berukuran pasport (digalakkan membawa 2 keping)
    Sijil Berhenti Sekolah
    Sijil Ko-kurikulum (dari tingkatan 3 sehingga peringkat tertinggi)
    Sijil Aktiviti Luar Sekolah/Institut Pengajian Tinggi
    Sijil yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon

Resume

Resume anda hendaklah ringkas dan padat dengan maklumat diri anda, kelulusan akedemik, pengalaman kerja(jika ada), kebolehan dan lain-lain.

Sijil Pelajaran Asal

Bawa sijil pelajaran yang asal dari tingkatan 3 hinggalah ke peringkat yang tertinggi dan pastikan ianya lengkap. Penemuduga hanya akan menilai sijil selepas tingkatan 3 sahaja.

Salinan Sijil Pelajaran

Pastikan anda membawa Sijil Pelajaran yang sudah di fotostat untuk simpanan dan rujukan pihak penemuduga.

Gambar Berukuran Pasport

Bawa 2 keping gambar berukuran pasport. Sekeping gambar hendaklah dikepilkan bersama resume dan sekeping lagi sebagai persediaan apabila diminta.

Sijil Berhenti Sekolah

Sijil Berhenti Sekolah wajib dibawa bagi penemuduga mengetahui sama ada anda menamatkan persekolahan sehingga tingkatan 5 atau tidak.

Sijil Ko-kurikulum dan Sijil Aktiviti Luar Sekolah/Institut Pengajian Tinggi

Sijil Ko-kurikulum dan Sijil Aktiviti Luar Sekolah/Institut Pengajian Tinggi menunjukkan anda seorang yang aktif atau pun tidak.

Sijil Yang Berkaitan Dengan Jawatan Yang Dipohon

Bawa sijil yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon bagi menunjukkan bahawa anda sesuai dengan jawatan yang ditawarkan.

Setelah anda selesai menyediakan dokumen yang berkaitan seperti yang diterangkan pada bahagian Tips Temuduga 2, sekarang kita beralih pula pada tips yang seterusnya iaitu tips temuduga yang ketiga.

Mengenal Pasti Lokasi Temuduga

Sebelum anda menghadiri sebarang temudaga, pastikan anda mengetahui lokasi dimana temuduga tersebut akan diadakan. Anda boleh mencari lokasi tersebut menggunakan internet seperti Google Maps, Yahoo Maps, Bing Maps, Wikimapia.org dan sebagainya. Jika anda tidak mempunyai sambungan internet di rumah, pergilah ke mana-mana cafe siber yang berhampiran.

Selain itu, anda juga boleh mencari lokasi temuduga tersebut dengan menggunakan kenderaan anda sendiri. Dengan cara ini, anda dapat melihat sendiri secara lebih dekat dan gambaran sebenar lokasi berkenaan tanpa perlu bersusah payah mencari pada saat akhir.

Ini bagi mengelakkan anda terlambat ketika menghadiri sesi temuduga tersebut dan seelok-eloknya datang 15 minit lebih awal sebelum sesi temuduga tersebut bermula. Jika anda terlambat, ini akan menjejaskan peluang anda kerana ketepatan masa adalah salah satu faktor utama yang akan dinilai oleh mana-mana penemuduga.